Lelaki maut ditetak 16 kali di kedai makan di Kuala Ketil

BALING: Seorang lelaki maut selepas ditetak 16 kali oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai makan di Pekan Lama Kuala Ketil, tengah malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata Balai Polis Kuala Ketil menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.15 tengah malam. Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kaki, tangan, lutut serta belakang leher. Sebanyak 16 kesan tetakan dikenal pasti, termasuk kecederaan hampir putus akibat ditetak menggunakan parang.
Adzli berkata, siasatan dan risikan polis mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan. Berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat turun daripada sebuah Proton Persona sebelum mengejar dan menetak mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.
Beliau menggesa orang ramai membantu polis mencegah dan membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan maklumat menerusi talian NG MERS 999 atau hadir ke balai polis berhampiran.