Lelaki maut dengan 16 kesan tetakan di Kuala Ketil

Sumber: Astro Awani
Lelaki maut dengan 16 kesan tetakan di Kuala Ketil
Gambar: Astro Awani

KUALA KETIL: Seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun maut selepas dipercayai ditetak sekumpulan empat lelaki bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Pekan Lama, Kuala Ketil, Baling, tengah malam tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Pemeriksaan awal pihak forensik mendapati mangsa mengalami kecederaan pada kaki, tangan, lutut dan belakang leher.

“Terdapat sebanyak 16 kesan tetakan dan hampir putus disebabkan ditetak dengan menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan dan risikan mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada dendam serta perebutan kawasan.

Menurut maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat turun dari sebuah kereta jenis Proton Persona sebelum mengejar dan menyerang mangsa. Suspek dikatakan terus menetak mangsa di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Adzli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.