Lelaki dihanyutkan arus deras di Batu 9 Cheras, SAR digerakkan

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di Kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras, Selangor, dimulakan kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata lelaki berkenaan pada mulanya dilihat berpaut pada ranting di tebing sungai sambil meminta pertolongan. Bagaimanapun, dia kemudian dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan.
Naazron berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu, membabitkan seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai berusia lingkungan 40-an. Lelaki itu dihanyutkan di sungai berhampiran Lot 3250C.
Pasukan SAR terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.32 petang semalam. Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussien Onn kemudian dikejarkan ke lokasi.
Menurut Ashrul, dua pasukan menjalankan pencarian di kawasan tebing sungai sepanjang anggaran lima kilometer. Pasukan bantuan dari BBP Kajang pula mencari di kawasan perangkap sampah Batu 10 Cheras.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Sarjan Muhamad Faizal Arif di talian 012-7812 843 bagi membantu polis mengesan mangsa.