Leclerc terkejut digelar 'bangsat kecil yang licik' dalam laporan F1

Las Vegas: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc, mengakui terkejut dengan penggunaan bahasa dalam sebuah artikel yang menyifatkannya sebagai "si bangsat kecil yang licik", namun menegaskan dirinya tidak terbabit dalam keputusan menarik balik akreditasi media penulis berkenaan bagi liputan Formula Satu (F1). Penulis artikel yang mengkritik pelumba dari Monaco itu dilarang membuat liputan sepanjang baki musim ini susulan tindakan badan induk sukan berkenaan, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Leclerc berkata demikian ketika ditemui pemberita menjelang Grand Prix Las Vegas. Beliau menegaskan pelumba sudah biasa berdepan penelitian serta soalan sukar, namun terdapat perbezaan antara kritikan biasa dengan penggunaan bahasa dalam artikel berkenaan. "Saya agak terkejut dengan pemilihan perkataan apabila membaca artikel itu. Berhubung hukuman yang dikenakan, jelas sekali saya langsung tidak terbabit dan tidak banyak yang boleh saya katakan mengenainya," katanya.
Kritikan dalam artikel itu dikaitkan dengan insiden pada pusingan pertama Grand Prix Mexico City awal bulan ini. Daily Mail pula dilaporkan mengumumkan boikot terhadap tiga perlumbaan terakhir musim ini selepas akreditasi media wartawan veterannya, Jonathan McEvoy, ditarik balik. Akhbar itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai "serangan keterlaluan dan belum pernah berlaku terhadap kebebasan media".
Leclerc menambah bahawa kritikan adalah sebahagian daripada kehidupan seorang pelumba F1 yang sentiasa berdepan perhatian meluas masyarakat dan media sepanjang musim. "Sebagai pelumba Formula Satu, kami sudah biasa dengan kritikan seperti ini. Bukan kritikan seperti ini secara khusus, tetapi kritikan dan teguran secara umum. Memang menjadi tugas wartawan untuk mengemukakan soalan sukar dan kadangkala menghasilkan tajuk berita yang keras," katanya. Namun beliau menegaskan penggunaan kata-kata dalam laporan tersebut telah melampaui jangkaannya terhadap laporan berkaitan sukan itu, sambil menegaskan sekali lagi ketidakterlibatannya dalam isu akreditasi.