LEKAS ditutup sementara untuk RHB LEKAS Highway Ride 2026

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) akan ditutup sementara dari 6 petang Sabtu ini, 28 November, hingga 4.30 pagi keesokan harinya bagi memberi laluan kepada acara berbasikal edisi ke-11, RHB LEKAS Highway Ride 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd, Chua Lay Hoon, berkata penutupan itu melibatkan sembilan persimpangan dan 20 laluan masuk serta keluar, dari Persimpangan Kajang Selatan hingga Persimpangan Paroi.
Beliau berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan peserta. Penganjuran acara itu mendapat sokongan dan kelulusan Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Menurut Chua, kerjasama berterusan antara pihak berkaitan mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan acara berjalan dengan selamat melalui penyelarasan berkesan, selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang tempoh penutupan, pengguna dari utara, termasuk Kuala Lumpur, Cheras dan Kajang, serta dari selatan, termasuk Seremban, Senawang dan Kuala Pilah, dinasihatkan menggunakan Laluan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS sebagai laluan alternatif ke destinasi masing-masing.
Pengguna turut diminta mematuhi papan tanda dan arahan anggota trafik. Untuk maklumat lanjut atau bantuan, orang ramai boleh menghubungi talian infoline LEKAS 24 jam di 1-800-88-8021, atau merujuk akaun media sosial rasminya di X (@LEKAStrafik), Facebook (LEKAS Highway) dan Instagram (lekashighway).