Lebih 367,000 kandungan penipuan, palsu dan deepfake diturunkan

Sumber: Astro Awani
Lebih 367,000 kandungan penipuan, palsu dan deepfake diturunkan
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Sebanyak 367,537 kandungan berkaitan penipuan dalam talian, akaun palsu dan pemalsuan imej atau deepfake diturunkan penyedia perkhidmatan atas permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 1 Jan 2024 hingga 15 Sept 2026.

Kementerian Komunikasi memaklumkan menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, 13,234 daripada 14,392 kandungan deepfake yang dimohon untuk diturunkan telah dipadam, bersamaan 92 peratus.

Bagi kandungan palsu, sebanyak 50,432 daripada 57,600 kandungan diturunkan, iaitu 87.6 peratus. Sementara itu, daripada 316,215 kandungan berunsur penipuan, termasuk akaun palsu dan penyamaran, 303,871 atau 96.1 peratus telah dipadam.

Kementerian itu turut memaklumkan lima permohonan penurunan kandungan berunsur penipuan kewangan dikemukakan kepada Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866]. Kesemua kandungan berkenaan telah diturunkan.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah kandungan deepfake, akaun palsu dan penipuan digital yang diturunkan, serta mekanisme bagi mencegah penyebarannya.

Menurut kementerian, MCMC menjalankan pemantauan proaktif terhadap penyalahgunaan media sosial dan memperkukuh kerjasama dengan pemberi perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan. Usaha itu bertujuan mempercepat pengesanan dan penurunan kandungan yang melanggar undang-undang.

Kerajaan berpandangan usaha menangani kandungan memudaratkan tidak seharusnya hanya dilakukan selepas kandungan tersebar. Melalui penguatkuasaan Akta 866, pemberi perkhidmatan turut bertanggungjawab mengambil langkah pencegahan dan mengurangkan risiko pada peringkat platform.

Langkah itu bertujuan membendung penyebaran kandungan memudaratkan dan melindungi keselamatan pengguna. MCMC juga menguatkuasakan Kod Pengurangan Risiko (RMC) pada 1 Jun lepas di bawah Akta 866.

Kod itu mewajibkan pemberi perkhidmatan berlesen melaksanakan langkah pencegahan di platform masing-masing, termasuk pelabelan dan penandaan kandungan yang dijana atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Dalam tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] bagi tempoh sama, 18 kes berkaitan kandungan palsu telah didakwa di mahkamah, manakala 32 kes dikompaun dan 68 kes dikenakan surat amaran.

Sebanyak 30 kes lagi masih dalam siasatan, menurut kementerian itu.