AVSEC pintas lebih 1.8 tan dadah di tiga lapangan terbang

Sumber: Sinar Harian

SEPANG – Lebih 1.8 tan dadah yang disyaki berjaya dipintas di tiga lapangan terbang negara menerusi pemeriksaan rutin penumpang dan bagasi oleh pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dari Januari hingga November tahun ini.

Malaysia Airports (MAHB) berkata, sebanyak 63 kes cubaan penyeludupan dadah dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh dalam tempoh berkenaan.

Menurut kenyataan MAHB pada Jumaat, ganja merangkumi kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan berat dadah yang dirampas hasil pengesanan awal AVSEC. Kebanyakan kes dikesan ketika pemeriksaan bagasi daftar masuk di Terminal 1 KLIA.

Semua kes yang dipintas diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan rutin turut membawa kepada penemuan 16 kes berkaitan hidupan liar di kedua-dua terminal KLIA antara Februari hingga September tahun ini. Pada 16 Jun lalu, pegawai AVSEC memintas dua konsainan yang mengandungi lebih 4,400 ekor kura-kura selepas ia dimuatkan ke dalam pesawat.

MAHB turut memaklumkan terdapat kes melibatkan penyu, ungka dan burung. Pada 11 November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Hussein Omar Khan, menyampaikan surat penghargaan kepada 80 pegawai AVSEC KLIA sebagai pengiktirafan terhadap tugas mereka.

Bagi memperkukuh usaha mengesan dadah di KLIA, unit anjing pengesan K9 daripada PDRM dan JKDM dijadual memulakan operasi perintis di dalam terminal pada 26 Oktober lalu. Unit itu akan melengkapi pemeriksaan sedia ada terhadap penumpang dan bagasi, dengan MAHB menyelaraskan pengaturan penugasan di KLIA.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata pegawai AVSEC memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan pintu masuk negara. Menurut beliau, pertimbangan mereka sebelum pesawat berlepas boleh menentukan sama ada cubaan penyeludupan yang disyaki dapat dihentikan ketika pihak berkuasa masih berpeluang bertindak.

“Sama ada pegawai berdepan dadah yang disyaki atau haiwan hidup, peranan mereka adalah untuk bertindak pantas dan membawa masuk agensi yang mempunyai kuasa serta kepakaran bagi mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

Mohd Izani berkata, MAHB turut memperluas usaha mengesan penyeludupan hidupan liar melalui kerjasama dengan Traffic International Southeast Asia. Latihan diberikan kepada pegawai AVSEC, kakitangan operasi lapangan terbang dan pengendali darat bagi membantu mereka mengenal pasti tanda kemungkinan penyeludupan serta mengetahui bila dan bagaimana perkara itu perlu dilaporkan.