Malaysia utamakan diplomasi, perkukuh kesiapsiagaan ketenteraan di Laut China Selatan

Sumber: Astro Awani
Malaysia utamakan diplomasi, perkukuh kesiapsiagaan ketenteraan di Laut China Selatan
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomasi dalam menangani isu Laut China Selatan, namun pada masa sama memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraan bagi melindungi kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendekatan diplomasi dalam menguruskan konflik dengan negara jiran bertujuan mengelakkan ketegangan hubungan serantau. Sebagai negara maritim, Malaysia mempunyai isu sempadan dengan negara jiran, tetapi perkara itu tidak bermakna hubungan perlu menjadi bermusuhan atau tegang.

“Keselamatan negara ini mesti dikawal melalui hubungan baik. Itu yang pertama,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di sini, pada Khamis.

Menurut Anwar, pendirian Malaysia selari dengan pendekatan ASEAN yang mahu isu Laut China Selatan ditangani melalui rundingan berterusan bersama China, termasuk usaha memuktamadkan Kod Tatalaku (Code of Conduct – COC).

Beliau berkata pendirian itu turut diulanginya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 pada November. Usaha mempercepat penyelesaian COC menerima maklum balas positif daripada Perdana Menteri China, Li Qiang.

“Jawapan daripada Premier Li Qiang itu jelas. Ya, negara China setuju untuk meningkatkan dan cuba menyelesaikan apa yang dikatakan Code of Conduct,” katanya.

Anwar menjelaskan COC perlu berlandaskan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982), sebagai kerangka perundangan antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perkembangan positif dalam rundingan diplomatik bukan alasan untuk berasa selesa atau menganggap isu keselamatan maritim sudah selesai. Malaysia, katanya, tetap perlu meningkatkan kekuatan dan bersiap siaga menjaga kepentingannya.

“Saya memilih jalur diplomasi walaupun saya setuju dengan apa yang digesa oleh Kementerian Pertahanan supaya kita tambah kekuatan, kita siap siaga untuk menjaga kepentingan negara kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 perlu dihayati semua agensi berkaitan, termasuk sektor awam dan pihak penguat kuasa, bagi memastikan pendekatan keselamatan negara dilaksanakan secara menyeluruh.