Guru takmir ditemukan lemas selepas kereta terbabas ke sungai

Sumber: Harian Metro
Guru takmir ditemukan lemas selepas kereta terbabas ke sungai
Gambar: Harian Metro

SEGAMAT: Guru takmir daerah Segamat, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, ditemukan lemas selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam anak Sungai Kapeh berhampiran Ladang Mados, di sini. Beliau dilaporkan tidak pulang selepas menyampaikan kuliah malam tadi.

Kehilangan Hamdi disedari isterinya, 28, yang mendapati suaminya masih belum pulang ke rumah. Kelibatnya juga tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang itu selepas waktu Isyak.

Beberapa kakitangan ladang kemudian mencari Hamdi kerana pada awalnya mereka menyangka beliau tersesat. Bagaimanapun, pencarian terpaksa dihentikan akibat hujan lebat dan paras air yang mula meningkat.

Isterinya membuat laporan polis mengenai kehilangan Hamdi pada jam 1 pagi tadi. Pencarian di beberapa kawasan berakhir selepas kereta dinaiki mangsa ditemukan terbalik di dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7 pagi tadi. Siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Ladang Mados menuju ke Segamat sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke dalam sungai.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Jumazanzahir meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.