Guru takmir ditemukan maut selepas kereta terbabas ke sungai di Segamat

Sumber: Sinar Harian

SEGAMAT – Guru takmir daerah Segamat, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, ditemukan meninggal dunia di dalam kereta yang terbabas ke Sungai Anak Sungai Kapeh berhampiran Ladang Mados, di sini, pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7 pagi. Siasatan awal mendapati Perodua Axia dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke sungai.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan luaran, namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejurus selesai menyampaikan kuliah Maghrib pada malam Rabu. Kehilangannya disedari isterinya, 28, apabila beliau masih belum pulang dan tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang selepas waktu Isyak.

Beberapa kakitangan ladang turut berusaha mencari mangsa kerana pada awalnya menyangka beliau tersesat di kawasan itu. Namun, pencarian terpaksa dihentikan susulan hujan lebat dan paras air sungai yang semakin meningkat.

Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 1 pagi. Mohd Jumazanzahir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.