KPM nafi peruntukan pembangunan dipotong RM1 bilion

Sumber: Harian Metro
KPM nafi peruntukan pembangunan dipotong RM1 bilion
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan peruntukan pembangunannya dikurangkan sebanyak RM1 bilion, sebaliknya jumlah itu dipindahkan ke bawah peruntukan mengurus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata KPM memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya peruntukan pembangunan berkenaan dikembalikan dan permohonan itu dipersetujui.

“Maka, selepas ini, peruntukan pembangunan KPM akan menjadi RM6.215 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM200 juta berbanding tahun 2026. Itu yang perlu saya jelaskan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata KPM memperuntukkan jumlah yang besar dan meningkat setiap tahun untuk membangunkan semula bangunan daif. Bagi tahun hadapan, sebanyak 115 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah KPM dirancang, dengan kos keseluruhan RM4.1 bilion.

“Jumlah ini antara yang tertinggi sejak kita melaksanakan inisiatif pembangunan semula bangunan daif pada tahun 2016,” katanya.

Dalam sesi penggulungan itu, Kah Woh turut menafikan dakwaan bahawa KPM menyembunyikan maklumat mengenai insiden pelajar terjatuh dari bangunan sekolah. Katanya, kementerian bersikap terbuka terhadap semua siasatan dan memberikan kerjasama penuh.

Bagaimanapun, beliau berkata pendedahan maklumat perlu mengambil kira aspek perundangan, termasuk perkara yang boleh dan tidak boleh didedahkan. “Oleh itu, kita tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersikap terbuka terhadap mana-mana siasatan,” katanya.

Mengenai lencana Jalur Gemilang yang diperoleh melalui proses perolehan pada 2025, Kah Woh berkata beliau terkilan dengan kenyataan yang mempersoalkan sama ada projek itu diberikan kepada sahabat atau kroni.

Katanya, semua proses perolehan dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menerusi sistem e-Perolehan, sama ada secara tender atau sebut harga, mengikut peruntukan yang diterima.

JPN dibenarkan membuat perolehan mengikut zon bagi mempercepatkan pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak. Kah Woh berkata 91 pembekal terbabit dalam pembekalan lencana Jalur Gemilang di seluruh negara pada tahun lalu.

Beliau meminta Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menarik balik dakwaan projek berkenaan diberikan kepada sahabat atau kroni. Kah Woh berkata tuduhan politik sepatutnya ditujukan kepada menteri atau timbalan menteri, bukan pegawai kerajaan yang mengendalikan proses perolehan di JPN dan PPD.

“Janganlah heret mereka ke dalam permainan politik. Kita perlu percaya dengan pegawai kita,” katanya.