KPKM bimbing penternak khinzir Tanjong Sepat beralih sektor

Sumber: Harian Metro
KPKM bimbing penternak khinzir Tanjong Sepat beralih sektor
Gambar: Harian Metro

PUTRAJAYA: Penternak khinzir di Tanjong Sepat, Selangor akan dibimbing secara berstruktur untuk beralih kepada subsektor pertanian lain yang lebih mampan dan berdaya maju. Inisiatif itu diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas Sesi Libat Urus (SLU) Program Peralihan Peserta Penternak Khinzir Tanjong Sepat diadakan di sini semalam.

Antara bidang yang dikenal pasti mempunyai potensi ialah penternakan lembu dan ruminan kecil, pertanian moden, tanaman kontan bernilai tinggi serta akuakultur. Peserta juga boleh mempertimbangkan bidang perniagaan lain, dengan bimbingan kementerian bagi mengurangkan risiko sepanjang proses peralihan.

“KPKM prihatin terhadap cabaran dihadapi pemain industri dan yakin inisiatif ini bukan sahaja dapat membuka peluang baharu bagi menjamin kelangsungan ekonomi penternak terbabit, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pengukuhan ekosistem makanan negara,” menurut kenyataan KPKM.

Kementerian berkata usaha itu mencerminkan komitmen kerajaan menjaga kebajikan pengusaha agromakanan dan memastikan pembangunan sektor berkenaan dilaksanakan secara mampan. Inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin. Ia turut menyediakan sesi perkongsian maklumat dan khidmat nasihat teknikal secara langsung oleh kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.

Agensi yang mengambil bahagian termasuk Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang, Agrobank dan Bioeconomy Corporation.