Prosiding pertuduhan lelaki OKU ditangguh bagi lantikan jurubahasa isyarat

Sumber: Harian Metro
Prosiding pertuduhan lelaki OKU ditangguh bagi lantikan jurubahasa isyarat
Gambar: Harian Metro

BUTTERWORTH: Prosiding terhadap Mohd Khairol Anuar Abdullah, 37, yang sepatutnya didakwa mencederakan teman wanitanya menggunakan pisau pada 14 November lalu, ditangguhkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Roslan Hamid menetapkan 4 Disember depan untuk membolehkan jurubahasa isyarat dilantik dan prosiding pertuduhan diteruskan. Mohd Khairol dan teman wanitanya yang berusia 44 tahun masing-masing berstatus orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Tertuduh sepatutnya berdepan tuduhan mencederakan wanita itu dengan menggunakan pisau sebagai senjata di sebuah kediaman di Mak Mandin, di sini. Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dalam prosiding berkenaan.

Mohd Khairol berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, selain dikenakan denda atau sebatan.

Mangsa, yang bekerja sebagai operator kilang, difahamkan ditemui jirannya dalam keadaan berlumuran darah selepas kejadian itu. Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya.