Kerajaan tumpu empat fokus hadapi kesan konflik Asia Barat
KUALA LUMPUR - Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha berteraskan empat fokus utama bagi menangani implikasi konflik Asia Barat yang berlarutan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, fokus berkenaan merangkumi rasionalisasi fiskal, keterjaminan rantaian bekalan, kemampanan industri dan perniagaan tempatan serta pengurusan kos sara hidup.
“Rasionalisasi fiskal termasuk langkah-langkah kawalan perbelanjaan dan ketahanan serta penerusan momentum pertumbuhan ekonomi.
“Keterjaminan rantaian bekalan strategik dan barangan keperluan pengguna domestik meliputi usaha mendapatkan sumber bekalan alternatif,” katanya ketika menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai jangkaan kesan konflik Amerika Syarikat-Iran dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.
Armizan berkata, fokus ketiga bertujuan memastikan kemampanan industri dan perniagaan tempatan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dalam menghadapi tekanan kos. Usaha itu termasuk penyediaan sumber pembiayaan.
Fokus keempat pula merangkumi pengurusan kos sara hidup melalui penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pendapatan sara hidup rakyat, termasuk penyaluran subsidi dan bantuan tambahan.
Beliau berkata, Malaysia turut menerima kesan konflik itu kerana pusat penapisan minyak dalam negara bergantung pada bekalan minyak mentah domestik dan import. Hampir 40 peratus bekalan berkenaan datang melalui Selat Hormuz.
Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersidang setiap minggu untuk meneliti implikasi konflik serta mengenal pasti strategi, pendekatan intervensi dan langkah mitigasi yang perlu dilaksanakan.
Armizan turut memaklumkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan inflasi dunia meningkat daripada tiga peratus pada 2025 kepada 4.7 peratus tahun ini.
“Sehingga Oktober 2026, inflasi Malaysia masih kekal stabil dengan kadar 1.9 peratus bagi bulan Oktober 2026 berbanding Filipina (7.8 peratus), Vietnam (5.1 peratus), Thailand (3.9 peratus) dan Indonesia (3.2 peratus),” katanya.
Menjawab soalan tambahan, beliau berkata kerajaan akan terus memantau kesan konflik Asia Barat dan memperkukuh pelaksanaan strategi berteraskan empat fokus itu merentasi semua kementerian.
Menurutnya, keberkesanan tindakan segera kerajaan dapat dilihat apabila bekalan bahan api, barangan keperluan pengguna dan keperluan industri tidak pernah terputus. Tiada pencatuan barangan keperluan diperlukan, manakala inflasi kekal rendah dan stabil.
Beliau berkata kerajaan akan meneruskan strategi menangani kos sara hidup, termasuk melalui Ikhtiar Belanjawan 2027 dan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30).