Hannah sahkan pembantu dipanggil SPRM bantu siasatan KLSCAH

Sumber: Sinar Harian

PUTRAJAYA - Seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis bagi membantu siasatan berkaitan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Hannah mengesahkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis. Beliau berkata, tiga pegawai SPRM datang ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan pada hari sebelumnya dan meminta pembantunya hadir ke suruhanjaya itu pada pagi Khamis.

“Ya, saya boleh mengesahkan perkara itu. Tiga pegawai SPRM datang ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 14 November lepas, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah pada kadar nominal RM1,000. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran premium terdahulu, iaitu kira-kira RM4.67 juta.

Hannah berkata, keputusan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memelihara mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur dan membolehkan institusi yang mempunyai nilai warisan terus berkhidmat kepada generasi akan datang.

Menurutnya, kadar premium nominal itu diluluskan susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberi pertimbangan khas terhadap pemeliharaan bangunan bersejarah tersebut. Komitmen itu dibuat selepas beliau mengunjungi dewan berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lepas.