Pelan 17 tindakan tingkat keselamatan KLIA secara berperingkat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperketat kawalan keselamatan dan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa lain secara berperingkat bagi mencegah kegiatan pengedaran dadah berskala besar daripada berulang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Jemaah Menteri meluluskan memorandum bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan pada 19 Ogos. Memorandum itu menggariskan Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan yang mengandungi 17 syor berasaskan tiga teras, iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan, serta keselamatan fizikal dan perlindungan.
Pelaksanaan pelan itu dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu jangka pendek dari sifar hingga enam bulan, jangka sederhana antara enam hingga 24 bulan, dan jangka panjang melebihi 24 bulan. Fasa pertama memberi tumpuan kepada penutupan kelemahan keselamatan menggunakan undang-undang, anggota dan aset sedia ada.
Antara langkah dalam fasa pertama ialah memperketat tapisan e-Vetting bagi pas keselamatan, menjalankan ujian dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan, serta menukar anggota yang bertugas di kawasan larangan. Kehadiran polis juga akan ditambah, manakala anggota polis dan unit anjing pengesan narkotik Jabatan Kastam akan ditempatkan semula di zon pelepasan terpilih serta kawasan bagasi berisiko tinggi. Maklumat risikan pengembara pula akan disepadukan menerusi Pusat Kawalan Imigresen Kebangsaan (NICC).
Saifuddin berkata fasa kedua akan membangunkan keupayaan baharu dan mendapatkan peralatan keselamatan lebih canggih. Ini termasuk pembelian pengimbas bagasi dan badan berkuasa tinggi, pemasangan kamera litar tertutup berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengukuhan unit anjing pengesan polis, penyepaduan data NICC serta peningkatan latihan khusus kakitangan.
Fasa ketiga melibatkan pemodenan sistem keselamatan negara dengan pengimbas generasi baharu berasaskan AI di semua pintu masuk, menaik taraf infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko, serta menjadikan NICC hab risikan negara. Standard keselamatan seragam dan bersepadu turut diperluas ke semua pintu masuk udara, darat dan laut.
Beliau menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh), yang bertanya mengenai langkah jangka pendek dan panjang bagi mencegah pengedaran dadah berskala besar melalui KLIA.