KK Mart sasar buka 240 cawangan baharu pada FY27

KUALA LUMPUR: KK Mart Retail Bhd menyasarkan pembukaan 240 cawangan baharu bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY27), ketika pengendali kedai serbaneka itu membuat persiapan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Disember.
Kumpulan itu hari ini mengeluarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) sehingga 840 juta saham. IPO berkenaan merangkumi tawaran jualan 630 juta saham sedia ada dan terbitan awam 210 juta saham baharu.
Pada harga runcit 55 sen sesaham, terbitan awam itu dijangka mengumpul hasil kasar RM115.50 juta. Daripada jumlah itu, RM48.40 juta akan digunakan untuk memperluas pusat pengedaran, RM28 juta bagi inisiatif digital dan pelaburan teknologi maklumat, RM25 juta untuk pengembangan rangkaian kedai di Malaysia, manakala RM14.10 juta diperuntukkan bagi kos IPO dan penyenaraian.
Bagi suku pertama berakhir 30 September 2026, keuntungan bersih KK Mart meningkat 5.8 peratus kepada RM24.46 juta berbanding RM23.12 juta setahun sebelumnya. Hasil pula naik 7.1 peratus kepada RM457.95 juta daripada RM427.42 juta.
KK Mart berkata, pihaknya akan meneruskan peluasan rangkaian kedai pada FY27 sambil menambah baik prestasi dan produktiviti cawangan sedia ada. Kumpulan itu membuka 163 cawangan pada FY26.
Gangguan operasi sementara di pusat pengedaran Balakong pada suku pertama mendorong kumpulan itu mengambil langkah untuk menstabilkan operasi dan meningkatkan produktiviti gudang. KK Mart berkata pertumbuhan hasil mungkin sederhana dalam tempoh terdekat, tetapi kesannya dijangka sementara dan tidak menjejaskan prestasi kewangan keseluruhan FY27 secara material.
Kumpulan itu menjangkakan pendapatan pelengkap serta hasil tambahan daripada pembukaan kedai baharu akan menyokong prestasi sepanjang tahun kewangan berkenaan.