Khazanah komited kembalikan MAG sebagai pemain utama penerbangan
KERAJAAN menerusi Khazanah Nasional Bhd komited mengambil segala langkah yang diperlukan untuk memastikan Malaysia Aviation Group (MAG) kembali menjadi pemain utama industri penerbangan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian pemerolehan pesawat Boeing 787 Dreamliner oleh MAG di sini, semalam.
Anwar berkata, MAG menjadi antara agenda penting yang dibincangkan dalam hampir setiap mesyuarat lembaga pengarah Khazanah, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kejayaan kumpulan itu. “Kerajaan Malaysia, menerusi Khazanah, komited untuk memastikan kita berjaya sebagai sebuah industri, kumpulan penerbangan dan negara.
“Kita akan melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi memastikan Malaysia Airlines dan kumpulan penerbangan ini kembali muncul sebagai pemain utama dalam industri pengangkutan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir; serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar.
Anwar yakin pemerolehan pesawat baharu itu dapat meningkatkan keupayaan syarikat penerbangan nasional, selain memberi keyakinan dan peluang kepada MAG untuk kembali mencapai kegemilangannya. Beliau berharap kepimpinan kumpulan itu dapat mempertahankan pencapaian berkenaan dengan cekal serta mengambil langkah sewajarnya selepas melalui pelbagai pasang surut, khususnya ketika berdepan kemelut geopolitik yang tidak menentu.
Beliau turut berkata kerajaan dan pemain industri perlu bertindak pantas menjangka serta menangani cabaran yang timbul berikutan perubahan realiti ekonomi dunia, termasuk perubahan rantaian bekalan dan persaingan yang semakin meningkat. Kenaikan harga bahan api, katanya, turut menjadi kebimbangan syarikat penerbangan dan negara secara keseluruhan.
“Namun, saya percaya, sekiranya anda terus menunjukkan daya tahan dan berada pada kedudukan yang baik untuk mengurus secara cekap, menarik pelaburan serta memperkukuh industri, kita akan sentiasa mempunyai keupayaan untuk mewujudkan peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Menurut Anwar, keyakinan rakan kongsi antarabangsa turut mencerminkan hubungan kerjasama jangka panjang dengan MAG.