Amodei nafi mahu manusia serahkan kebebasan kepada AI

Sumber: Harian Metro
Amodei nafi mahu manusia serahkan kebebasan kepada AI
Gambar: Harian Metro

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei menafikan dakwaan bahawa beliau mahu manusia menyerahkan kebebasan membuat keputusan kepada kecerdasan buatan (AI), dalam kenyataan di platform X pada Rabu.

Beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak masuk akal dan menegaskan manusia tidak sepatutnya menyerahkan kepada AI kebebasan menentukan hala tuju kehidupan. “Tidak, saya tidak percaya kita patut menyerahkan kebebasan manusia kepada sistem AI dan adalah tidak masuk akal untuk mendakwa saya berpendirian sedemikian,” katanya.

Amodei turut berkata manusia tidak seharusnya mengorbankan prinsip kesahihan atau hak menentukan nasib sendiri demi kecekapan dan keselamatan. Kenyataan panjang itu dibuat sebagai respons terhadap artikel portal berita Amerika Syarikat, Axios, mengenai perdebatan berhubung AI.

Kebimbangan bahawa teknologi itu mungkin terlepas daripada kawalan manusia semakin meningkat di Silicon Valley selepas beberapa insiden sepanjang musim panas lalu. Antaranya ialah kejadian penggodaman platform Hugging Face oleh ejen AI autonomi yang dibangunkan OpenAI.

Pada September lalu, Ketua Keselamatan Anthropic, Evan Hubinger dilaporkan berkata pihaknya benar-benar percaya AI berpotensi membunuh seluruh manusia. Amodei pula menyindir beberapa ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat AI yang kerap berkata teknologi itu sepatutnya sekadar menjadi alat, tetapi tidak menunjukkan pendekatan berbeza menerusi produk mereka.

Kenyataan Amodei menyusul selepas Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang pada Ahad lalu berkata masyarakat tidak sepatutnya menerima penyerahan kawalan masyarakat kepada AI. Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman pula berkata awal bulan ini bahawa jika penawar kanser memerlukan manusia kehilangan segala kuasa membuat keputusan, kawalan dan suara pada masa depan, ia tawaran yang amat buruk.

Bagaimanapun, Amodei tidak mengulas kenyataan terdahulunya mengenai perkara itu. Pada Februari lalu, beliau memberitahu The New York Times bahawa dalam kes kritikal yang membabitkan nyawa dan keselamatan, manusia benar-benar mahu menyerahkan keputusan kepada AI. Pada penghujung 2024, beliau turut meramalkan sistem AI akan menjadi pemimpin yang memberikan arahan kepada manusia atau sistem AI lain.

Dalam kenyataan terbaharunya, Amodei mengakui kemungkinan had tertentu perlu ditetapkan terhadap keupayaan AI memperbaiki dirinya secara berulang kali, proses yang dikenali sebagai recursive self-improvement (RSI). Beliau berkata Anthropic tidak menjangkakan sistem AI Claude mampu membangunkan model AI termaju secara berturut-turut sepenuhnya tanpa campur tangan manusia dengan selamat. Namun, beliau tidak menjelaskan had khusus yang patut dikenakan.

Dalam dokumen penyenaraian awam permulaan (IPO), Anthropic menyatakan setiap versi baharu model Claude mempercepatkan pembangunan versi seterusnya. Claude juga menghasilkan lebih 90 peratus sumbangan kepada pangkalan kod syarikat itu pada September lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, yang sekian lama meramalkan AI dengan kecerdasan melebihi manusia akan menjadikan manusia seperti haiwan peliharaan, berkongsi semula kenyataan Amodei dengan komen ringkas: “Menarik”.