Malaysia perlu beralih kepada keselamatan siber proaktif, kata Abdul Halim

Sumber: Astro Awani
Malaysia perlu beralih kepada keselamatan siber proaktif, kata Abdul Halim
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada strategi keselamatan siber yang lebih proaktif, berasaskan risikan, analitik dan keupayaan ramalan bagi menangani ancaman semakin canggih, termasuk serangan menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata kemampuan mengesan ancaman lebih awal dan bertindak pantas penting untuk melindungi infrastruktur kritikal serta sistem digital negara.

Beliau berkata AI mengubah landskap keselamatan siber dengan ketara kerana teknologi itu boleh digunakan untuk mengesan anomali dan kelemahan sistem, tetapi pada masa sama dieksploitasi bagi menghasilkan serangan lebih canggih.

“Namun, ia juga boleh dieksploitasi untuk menghasilkan serangan yang lebih canggih, termasuk penipuan berasaskan deepfake (palsu asli) dan serangan automatik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup NEXSEC 2026 di sini pada Khamis.

Susulan perkembangan itu, Abdul Halim menggalakkan agensi kerajaan dan pemain industri meneroka penyelesaian baharu, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D), memperluas penggunaan teknologi keselamatan serta membangunkan keupayaan tempatan.

Menurutnya, keselamatan siber bukan lagi hanya isu teknologi atau tanggungjawab teknikal sesebuah organisasi. Ia turut berkait dengan keselamatan negara, kedaulatan digital, keyakinan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ancaman seperti serangan perisian tebusan, pancingan data, pencurian identiti, kebocoran data dan serangan terhadap infrastruktur kritikal memerlukan kerjasama lebih rapat antara pelbagai pihak. Ini termasuk kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, penyedia perkhidmatan digital, institusi pengajian tinggi serta rakan antarabangsa.

Kerjasama itu, katanya, perlu menghasilkan tindakan konkrit, antaranya perkongsian risikan ancaman, penyelarasan tindak balas insiden, latihan simulasi, pembangunan standard keselamatan dan mekanisme pemulihan yang berkesan.

Pada majlis berkenaan, Abdul Halim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Capture The Flag (CTF) NEXSEC 2026 kategori universiti. Kumpulan Perisai+ dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) muncul juara dan menerima wang tunai RM3,000, plak serta sijil EC-Council.

Kumpulan PWNcookies dari Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) mendapat tempat kedua dengan hadiah RM2,500, plak dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi kumpulan iphonekupi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang menerima RM2,000, plak dan sijil.

Wakil Perisai+, Mohammad Danish Hakim Mohd Nasir, 22, berkata kejayaan itu dicapai selepas kumpulan berkenaan menambah baik persediaan dan menjalani latihan lebih intensif. Mereka sebelum ini menduduki tempat ketiga pada NEXSEC edisi tahun lepas.

Mohammad Danish Hakim, yang bergandingan dengan Muhammad Muhaimin Ridzuan dan Muhammad Afiq Danial Mohd Bacho, berkata CTF ialah latihan siber yang menguji keupayaan peserta berfikir seperti penceroboh untuk menembusi sistem, sebelum mengenal pasti cara terbaik melindunginya daripada ancaman sebenar.

“Cabaran utama kali ini ialah larangan penggunaan AI kerana ini untuk mengasah bakat asli setiap pemain, namun pengalaman menyertai pelbagai pertandingan di peringkat universiti serta ASEAN sebelum ini banyak membantu kami sehingga berjaya memenangi tempat pertama hari ini,” katanya kepada media selepas majlis penutupan.

Beliau berharap lebih banyak platform seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan bagi membuka peluang kepada lebih ramai anak muda menyerlahkan bakat, khususnya dalam keselamatan siber.

Dalam pertandingan Pameran Inovasi Teknologi, Projek CyberScout AR: Mobile Application for Cybersecurity Awareness dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraih tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM1,000, piala, plak serta sijil EC-Council.

Projek Pentree: From Attack to Assurance – AI-Powered Autonomous Penetration Testing for Audit-Ready Cybersecurity dari APU mendapat tempat kedua dengan hadiah RM750 dan plak. Tempat ketiga disandang Projek Ruang Aman: AI-Powered Online Hate Speech Detection dari Universiti Malaya (UM), yang menerima RM500 serta plak.

NEXSEC 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berlangsung semalam dan hari ini, menghimpunkan wakil kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pengajian tinggi serta negara anggota ASEAN bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan siber negara.