Polis tidak tolak kemungkinan tangkapan baharu kes dadah guna aset tentera

Sumber: Sinar Harian

KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan menahan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset tentera. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini 13 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam.

Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan polis akan memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan. Mohd Khalid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, pada Khamis.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan … saya tak dapat mendedahkan (bilangan individu dikesan), reman (suspek ditahan) telah tamat serta disambung oleh pihak mahkamah dan kita akan jalankan siasatan bagi memastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan berterusan boleh membawa kepada tangkapan lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes berkenaan. Menurutnya, kerjasama rapat PDRM dengan pihak tentera, khususnya TUDM, membuahkan hasil menerusi operasi bersama.

Kerjasama itu, katanya, penting untuk membanteras penyalahgunaan dadah dan membendung isu berkenaan daripada terus menular dalam negara.

Minggu lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penahanan 13 individu itu dibuat susulan penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid berkata kesepaduan dan semangat solidariti dalam kalangan warga polis perlu diperkukuh supaya setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan. Beliau berkata, 6,300 pegawai dan anggota berkhidmat di Pahang, sekali gus memerlukan kerjasama erat dan semangat berpasukan bagi memastikan tugas berjalan lancar.

Pada majlis itu, Mohd Khalid menyaksikan serah terima tugas daripada Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, yang memangku jawatan Ketua Polis Pahang, kepada Datuk Mohammad Shaharul Md Osman, Ketua Polis Negeri yang baharu.