Kerajaan tiada hasrat ambil alih konsesi lebuh raya bertol

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM - Kerajaan tidak berhasrat mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkan konsesinya lebih awal, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pelbagai implikasi, terutama terhadap kewangan kerajaan. Tindakan berkenaan juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya.

“Pada masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkannya lebih awal. Selaras dengan itu, tiada sebarang kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan pada masa ini,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Alexander menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai sama ada kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan implikasi kewangan bagi mengambil alih konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak atau menamatkan kutipan tol lebih awal.

Menurut Alexander, tempoh konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak akan berakhir pada 31 Disember 2069. Kali terakhir kerajaan membayar pampasan berikutan penangguhan kenaikan kadar tol di lebuh raya itu adalah pada 2021, sebanyak RM3.61 juta.

“Tiada lagi bayaran pampasan penangguhan kenaikan kadar tol selepas tahun tersebut,” katanya.