Kerajaan tiada hasrat ambil alih konsesi lebuh raya bertol

Sumber: Harian Metro
Kerajaan tiada hasrat ambil alih konsesi lebuh raya bertol
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat mengambil alih mana-mana syarikat konsesi lebuh raya bertol atau menamatkan konsesi lebih awal, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.

Beliau berkata, tindakan itu boleh membawa pelbagai implikasi, khususnya terhadap kewangan kerajaan, selain menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri lebuh raya. Sehubungan itu, tiada kajian kebolehlaksanaan dijalankan ketika ini.

Nanta menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai baki tempoh konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak dan jumlah pampasan yang dibayar kepada syarikat konsesi. Chow turut bertanya sama ada kerajaan sudah membuat kajian kebolehlaksanaan serta menilai implikasi kewangan sekiranya konsesi diambil alih atau kutipan tol ditamatkan lebih awal.

Menurut Nanta, perjanjian konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak akan tamat pada 31 Disember 2069. Kali terakhir kerajaan membayar pampasan susulan penangguhan kenaikan kadar tol di lebuh raya itu ialah pada 2021, berjumlah RM3.61 juta.

Beliau berkata tiada bayaran pampasan bagi penangguhan kenaikan kadar tol dibuat selepas tahun berkenaan.