Kerajaan terus pantau harga dan bekalan makanan hadapi musim banjir

Sumber: Harian Metro
Kerajaan terus pantau harga dan bekalan makanan hadapi musim banjir
Gambar: Harian Metro

Putrajaya: Kerajaan akan terus memantau harga dan bekalan makanan negara bagi memastikan tiada kenaikan harga mendadak, terutama ketika menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku mulai bulan ini hingga April tahun depan. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata agensi berkaitan, khususnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa mendapatkan maklumat di lapangan dan akan mengambil tindakan segera jika berlaku gangguan bekalan atau kenaikan harga. Menurutnya, setakat ini tiada laporan diterima mengenai kenaikan harga barangan makanan secara mendadak, manakala harga telur juga menunjukkan penurunan berbanding kebiasaan. "Kita akan mendapat maklumat dari semasa ke semasa dan sentiasa bertindak segera sekiranya berlaku sebarang perubahan., "Setakat ini, belum ada laporan mengenai kenaikan harga secara mendadak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Keterjaminan Makanan :Kegelisahan Global Dalam Menghadapi Ketidaktentuan Geopolitik- Bersediakah Kita? sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mengenai persediaan menghadapi El Niño, Mohamad berkata fenomena cuaca panas itu dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan perikanan, termasuk kemungkinan suhu mencecah 40 darjah Celsius. Beliau menerangkan kementerian telah meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) serta petani supaya membuat persediaan awal, termasuk menggalakkan penanaman sayur-sayuran bagi menghadapi tempoh berkenaan. Sektor perikanan turut berpotensi terjejas apabila cuaca panas menyebabkan ikan bergerak ke kawasan laut lebih dalam, sekali gus menjejaskan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan pantai.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bekalan ikan negara ketika ini masih mencukupi, termasuk melalui penyediaan stok ikan sejuk beku oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan pihak swasta. "Kita akan memperbanyakkan stok ikan sejuk beku, sama ada melalui LKIM atau pihak swasta. "Buat masa sekarang, saya tidak mahu orang ramai bimbang mengenai kemungkinan kekurangan bekalan ikan kerana stok kita masih mencukupi," katanya.