RM14.99 juta diluluskan untuk 5,101 usahawan kecil

Sumber: Harian Metro
RM14.99 juta diluluskan untuk 5,101 usahawan kecil
Gambar: Harian Metro

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM14.99 juta bagi membantu 5,101 usahawan dan peniaga kecil meningkatkan kapasiti serta produktiviti perniagaan melalui bantuan peralatan di seluruh negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah penerima itu dipilih daripada 12,499 permohonan yang diterima bagi Skim Usahawan Bangkit sejak Januari hingga Isnin lalu.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI turut meningkatkan peruntukan geran bagi skim itu sebanyak RM200 juta menerusi Belanjawan 2027. Menurutnya, peruntukan berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan memperkasakan usahawan, khususnya golongan B40 dan peniaga kecil yang menjadi antara penggerak utama ekonomi rakyat.

Beliau turut menyarankan usahawan dan peniaga kecil memberi perhatian kepada pendigitalan untuk meningkatkan daya saing usahawan tempatan. Katanya, keunikan produk serta perusahaan berasaskan marin dan pelancongan perlu dimanfaatkan sebagai kekuatan ekonomi yang berpotensi menembusi pasaran lebih luas.

Antara produk usahawan dan peniaga kecil di Terengganu yang mempunyai potensi untuk dipasarkan ke peringkat lebih tinggi ialah songket, batik dan keropok lekor. Bagi negeri itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.04 juta kepada 380 usahawan dan peniaga kecil.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit peringkat negeri di sini, hari ini. Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kelulusan RM1.49 juta bagi kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 11 institusi pendidikan Islam di seluruh negeri, termasuk enam sekolah tahfiz di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Menurutnya, peruntukan itu sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat. Kelulusan itu, katanya, dibuat seiring agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.