Rosli gesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap barangan import

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan dan pemeriksaan produk import bagi mengawal lambakan barangan murah berkualiti rendah dari China yang menjejaskan pengguna serta daya saing peniaga tempatan, kata Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pertimbangan untuk memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi mengawal kemasukan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa merupakan langkah baik. Namun, katanya, cadangan itu perlu disusuli tindakan yang berkesan.

Menurut Rosli, masalah utama bukan semata-mata kemasukan produk berharga rendah, tetapi kelemahan pelaksanaan dan pemantauan oleh agensi yang bertanggungjawab.

“Penguatkuasaan kita lemah. Kenapa pihak kastam tidak memeriksa dan menolak produk yang tidak memenuhi standard kualiti?

“Produk ini dijual murah, tetapi kualitinya tidak memuaskan. Banyak aduan yang saya terima daripada peniaga mengenai barangan yang dibeli tidak tahan lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Rabu, Anwar berkata kerajaan akan mempertimbang peraturan lebih ketat bagi mengawal kemasukan barangan murah melalui platform e-dagang antarabangsa, terutamanya dari China.

Rosli berkata, pengguna terpaksa berbelanja berulang kali untuk menggantikan barangan yang rosak dalam tempoh singkat. Beliau berkata ada produk yang rosak sebelum seminggu digunakan, sedangkan wang untuk membelinya diperoleh hasil kerja dan usaha rakyat.

“Kerajaan perlu memastikan produk yang dibawa masuk memberi manfaat kepada rakyat dan mempunyai kualiti yang baik serta boleh digunakan dalam tempoh lama,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara serta memastikan agensi penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab, dan tidak hanya bertindak selepas menerima aduan.

Agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga perlu meningkatkan pemantauan terhadap produk yang memasuki pasaran, katanya.

Rosli berkata kenyataan Perdana Menteri itu perlu diterjemahkan kepada tindakan oleh agensi pelaksana supaya usaha kerajaan memberi kesan kepada rakyat.