Malaysia tidak hentikan penggunaan bahan api fosil secara serta-merta

Sumber: Harian Metro
Malaysia tidak hentikan penggunaan bahan api fosil secara serta-merta
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menghentikan penggunaan bahan api fosil secara serta-merta, sebaliknya melaksanakan peralihan secara adil, berperingkat, teratur dan bertanggungjawab, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, peralihan itu perlu mengambil kira keadaan, keupayaan dan tahap pembangunan setiap negara. Malaysia juga kekal komited terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

“Pada Persidangan Negara-Negara Ahli ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye, saya sudah menegaskan komitmen Malaysia untuk beralih secara progresif daripada penggunaan bahan api fosil.

“Bagaimanapun, Malaysia kekal komited terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Arthur menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai usaha kerajaan memastikan peralihan tenaga dilaksanakan dengan adil dan teratur tanpa menjejaskan keselamatan tenaga, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan sedang melaksanakan beberapa langkah strategik untuk mencapai sasaran berkenaan.

Antara langkah itu ialah tidak membangunkan loji janakuasa arang batu baharu serta menamatkan operasi loji sedia ada secara berperingkat, selaras dengan tamat tempoh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Dengan pendekatan itu, loji janakuasa arang batu terakhir dijadualkan berhenti beroperasi pada 2044.

Selain itu, gas asli akan dikekalkan sebagai bahan api peralihan bagi menjamin kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik negara.

Kerajaan turut memperluas pembangunan tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri dan pemodenan infrastruktur grid. Usaha itu bertujuan mencapai sasaran tenaga boleh baharu merangkumi 70 peratus kapasiti terpasang menjelang 2050, katanya.