Kepimpinan baharu KAFA digesa pulihkan kestabilan dan keyakinan

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mengutamakan pemulihan kestabilan pentadbiran dan keyakinan warga bola sepak negeri itu selepas menerima mandat pada Kongres Luar Biasa KAFA 2026, hari ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, barisan yang diterajui Datuk Seri Rosmadi Ismail perlu melaksanakan amanah dengan penuh integriti bagi mengukuhkan semula pentadbiran persatuan dan memastikan pembangunan bola sepak Kelantan dapat diteruskan.
Beliau berkata, pemilihan itu membuka ruang kepada KAFA untuk memulakan lembaran baharu, namun usaha berkenaan memerlukan kesepakatan semua pihak. Warga bola sepak negeri itu, katanya, perlu mengetepikan perbezaan sebelum ini dan menyokong kepimpinan yang dipilih.
Ab Ghani mengucapkan tahniah kepada Rosmadi selaku Presiden KAFA serta seluruh barisan kepimpinan baharu yang menerima kepercayaan dan mandat untuk menerajui persatuan berkenaan.
Beliau turut menegaskan kepimpinan baharu perlu mengekalkan hubungan baik dengan barisan pentadbiran terdahulu dan ahli gabungan. Langkah itu penting supaya pengalaman serta usaha yang dilaksanakan sebelum ini tidak disia-siakan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan kewangan, pengukuhan tadbir urus, hubungan dengan ahli gabungan dan pembangunan bola sepak secara menyeluruh. Pembangunan akar umbi, pencarian bakat muda serta bola sepak wanita juga perlu menjadi fokus bagi memastikan Kelantan terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara.
Ab Ghani berkata demikian dalam kenyataan media FAM selepas menghadiri Kongres Luar Biasa KAFA 2026 yang dirasmikannya. Kongres itu dipengerusikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, selepas menerima mandat daripada perwakilan ahli gabungan KAFA.
Dalam perkembangan sama, FAM menyatakan kesediaan memberikan sokongan dan bimbingan kepada kepimpinan baharu KAFA untuk memperkukuh pentadbiran serta membangunkan potensi bola sepak negeri itu.
Komitmen FAM turut merangkumi usaha membantu mengaktifkan semula Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), bagi memastikan pembangunan bola sepak di negeri berkenaan kembali bergerak.