Kembar tiga tamat pengajian bersama, raih keputusan cemerlang di USM

Sumber: Harian Metro
Kembar tiga tamat pengajian bersama, raih keputusan cemerlang di USM
Gambar: Harian Metro

GEORGETOWN: Tiga beradik kembar yang tidak pernah berpisah sejak kecil menamatkan pengajian bersama-sama dengan keputusan cemerlang pada Upacara Konvokesyen ke-64 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Kembar sulung, Mohamed Azmin, 26, berkata beliau dan adik-adiknya, Mohamed Azwan serta Mohamed Azrul, masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.50, 3.61 dan 3.51.

Ketiga-tiganya mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dengan major Antropologi dan Sosiologi serta minor Psikologi. Mereka ialah anak kepada Dawlath Mohamed Ahmad, 61, bekas guru tuisyen, dan Nasirabanu S Inayadulla, 57.

Mohamed Azmin berkata mereka berkongsi cita-cita untuk menjadi pendidik dan berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ketika di sekolah dan politeknik, mereka juga tidak pernah berpisah serta memilih kursus sama, iaitu Diploma Perakaunan.

Bagaimanapun, beliau menjangka mereka mungkin membawa haluan masing-masing selepas bekerja kerana sukar untuk ketiga-tiganya mendapat pekerjaan di tempat sama. Mohamed Azwan bercita-cita menjadi guru Matematik, Mohamed Azmin berminat mengajar Bahasa Inggeris, manakala Mohamed Azrul terbuka untuk mengajar mata pelajaran yang bersesuaian.

“Kami belum pernah bekerja sambilan sebagai guru tuisyen tetapi merancang untuk melakukannya pada masa depan kerana kami memang minat mengajar dan berkongsi ilmu,” katanya kepada pemberita.

Lebih manis, mereka yang dilahirkan selang seminit antara satu sama lain menerima ijazah secara berturutan daripada Pro Canselor USM, Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan. Mohamed Azmin dilahirkan pada jam 9.11 pagi, diikuti Mohamed Azwan pada 9.12 pagi dan Mohamed Azrul pada 9.13 pagi.

Mohamed Azmin turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu mereka menamatkan pengajian di USM.

Sementara itu, Mohamed Azwan berkata persamaan wajah mereka kadangkala menyebabkan pensyarah dan rakan sekuliah keliru. Ada kalanya, mereka hanya mengangguk apabila dipanggil menggunakan nama salah seorang daripada mereka.

Sepanjang pengajian, mereka banyak belajar bersama-sama dalam kumpulan perbincangan untuk saling membantu memahami subjek. Jika seorang daripada mereka tidak memahami sesuatu perkara atau tugasan, yang lain akan menerangkannya, selain bertukar idea dan mendapatkan pandangan rakan.

“Kami tidak rasa ia macam satu persaingan tetapi lebih kepada saling membantu dan sentiasa bekerjasama sebagai adik-beradik kembar yang mempunyai ikatan rapat antara satu sama lain,” katanya.