Polis buru suspek curi kabel selepas kemalangan maut di Iskandar Puteri

ISKANDAR PUTERI: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang disyaki mencuri kabel selepas seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di kawasan Nusa Bestari, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata kemalangan kira-kira 4.30 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 22 dan 34 tahun, mengalami kecederaan parah pada kaki serta kepala. Mereka dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira 10 pagi semalam akibat kecederaan yang dialaminya, katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Radin Ramlan, kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagaimanapun, polis mengesan rakaman video kemalangan itu yang tular di Facebook sebelum siasatan lanjut menemukan unsur jenayah berkaitan kecurian kabel milik syarikat utiliti.
Beliau berkata pihak utiliti di Johor Bahru turut membuat laporan polis. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-511 3622 atau hotline 07-511 4486.
Sebelum ini, video berdurasi 47 saat yang memaparkan kemalangan itu tular menerusi media sosial.