Polis buru suspek curi kabel selepas nahas maut di Iskandar Puteri
ISKANDAR PUTERI – Polis sedang mengesan individu yang disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) selepas siasatan mendapati nahas membabitkan kereta dan motosikal di Nusa Bestari, di sini, mempunyai unsur jenayah. Dalam kejadian pada Selasa lalu itu, seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu pada mulanya disiasat sebagai kes kemalangan jalan raya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia 22 dan 34 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan kepala sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 10 pagi semalam akibat kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
“Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri menemui unsur kecurian kabel TM. Radin Ramlan berkata, pihak TM Johor Bahru turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Susulan perkembangan tersebut, polis menjalankan siasatan selari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membencanakan kabel, serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 berkaitan kerosakan rangkaian.
“Usaha mengesan semua suspek yang terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada polis jika melihat kejadian jenayah. Orang ramai juga diminta supaya tidak bertindak sendiri sehingga membahayakan keselamatan diri atau orang awam.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
Terdahulu, video insiden kemalangan itu tular di media sosial. Kejadian berkenaan dikaitkan dengan lokasi insiden curi kabel yang berlaku pada April lalu, selain turut dikaitkan dengan geng pencuri kabel dan orang awam yang menjadi mangsa.