Komisen dorong pemandu lori bawa muatan lebih hingga 90 peratus

Sumber: Harian Metro
Komisen dorong pemandu lori bawa muatan lebih hingga 90 peratus
Gambar: Harian Metro

SEBERANG JAYA: Gaji pokok rendah dan peluang memperoleh komisen tambahan mendorong pemandu lori komersial di Pulau Pinang membawa muatan sehingga 90 peratus melebihi had dibenarkan, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, berkata pengusaha syarikat pengangkutan lazimnya mengaitkan komisen pemandu dengan jumlah muatan yang dibawa. Keadaan itu menyebabkan pemandu mengejar perjalanan demi pendapatan lebih tinggi sehingga mengabaikan keselamatan jalan raya.

“Melihat kepada senario di negara kita, kadar gaji pokok bagi pemandu kenderaan barangan adalah rendah. Kebanyakan pengusaha membayar komisen sebagai tambahan kepada gaji pokok, yang dikira berdasarkan jumlah muatan yang dibawa.

“Bagi mendapatkan komisen itu, pemandu lazimnya membawa muatan berlebihan dan mengejar perjalanan demi pendapatan yang lebih tinggi,” katanya di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang selepas operasi membanteras kenderaan perdagangan lebih muatan di negeri itu pada awal pagi hari ini.

Zulkifly berkata, pasukan penguat kuasa mengesan kenderaan berat membawa muatan antara 30 hingga 90 peratus melebihi had berat yang dibenarkan, bergantung pada jenis kenderaan. Kebanyakan pesalah didapati mengangkut sumber mineral seperti pasir dan batu, selain hasil pertanian.

Beliau berkata, muatan berlebihan bukan kesalahan kecil kerana boleh meningkatkan risiko keselamatan, menjejaskan kestabilan dan kawalan kenderaan serta merosakkan permukaan jalan, jambatan dan infrastruktur awam.

“JPJ Pulau Pinang tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya. Setiap pihak yang bertanggungjawab mesti memastikan kenderaan mereka mematuhi had berat yang ditetapkan serta syarat undang-undang,” katanya.

Dari 1 Januari hingga 26 November lalu, JPJ Pulau Pinang memeriksa 46,102 kenderaan komersial dan mengambil tindakan terhadap 11,463 kenderaan atas pelbagai kesalahan. Tindakan itu membawa kepada pengeluaran 15,953 saman.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 2,602 kesalahan lebih muatan direkodkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk di bawah Seksyen 64. Sebanyak 49 kes pula direkodkan di bawah Seksyen 57 dan 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh hampir 11 bulan itu merekodkan nilai keseluruhan RM1.53 juta, merangkumi RM718,800 dalam bentuk kompaun dan RM808,000 denda mahkamah.

Dalam operasi yang bermula pada 2 pagi hari ini, anggota penguat kuasa memeriksa 46 kenderaan komersial dan mengambil tindakan terhadap lima lori kerana membawa muatan berlebihan. Zulkifly berkata, jabatan itu akan terus mempergiat penguatkuasaan terhadap pemandu, pemilik kenderaan dan syarikat pengangkutan yang melanggar peraturan had berat muatan.