Kastam rampas 86 e-bike tanpa kelulusan SIRIM bernilai RM268,279
KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merampas 86 unit basikal elektrik tanpa kelulusan SIRIM dalam operasi di sekitar Lembah Klang pada 27 hingga 30 Oktober lalu. Nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai ialah RM268,279.
Pengarah Kastam WPKL, Wan Norizan Wan Daud, berkata rampasan dibuat menerusi Ops Piawai E-Mobiliti dengan kerjasama SIRIM Berhad. Pemeriksaan di sembilan premis menemukan pelbagai jenis dan jenama basikal elektrik yang diimport tanpa kelulusan SIRIM serta perakuan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Menurutnya, nilai barangan yang dirampas dianggarkan RM211,578, manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM56,701. JKDM membuka sembilan kertas siasatan dan memanggil sembilan wakil syarikat untuk membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati basikal elektrik itu disyaki dibawa masuk ke Malaysia tanpa mematuhi syarat pengimportan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Eksekutif Pengujian SIRIM, Azlie Ahmad, berkata pengujian basikal elektrik dilaksanakan berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan ciri keselamatan kenderaan dipatuhi dan keselamatan pengguna terjamin. Beliau turut menjelaskan basikal elektrik tertakluk kepada larangan import di bawah perintah berkenaan serta memerlukan permit import yang dikeluarkan MITI.
JKDM menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat. Jabatan itu memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.