Tiga pegawai TUDM, tiga orang awam didakwa edar 96.2kg syabu

SHAH ALAM: Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) syabu.
Mereka ialah Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, Tan Sui Seng, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin dan Afifah Amdas. Kesemua tertuduh mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga berdepan sebatan sekurang-kurangnya 15 kali.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Sebutan semula ditetapkan pada 23 Feb 2027.
Sebelum prosiding, kesemua tertuduh tiba di kompleks mahkamah dengan menaiki trak polis sebelum dibawa ke lokap melalui pintu belakang. Mereka dikawal ketat oleh beberapa anggota polis yang lengkap dengan peralatan taktikal.
Pada 17 Nov lepas, tujuh anggota dan pegawai TUDM ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan 96.6kg dadah yang disyaki di Pangkalan Udara Subang. Panglima TUDM Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dilaporkan berkata mereka terdiri daripada lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dipetik berkata, sebanyak tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar melalui dua kemudahan TUDM di Sabah sejak Ogos 2024.