Takiyuddin gesa polis segera siasat Tony Pua berhubung minit pengampunan

Sumber: Harian Metro
Takiyuddin gesa polis segera siasat Tony Pua berhubung minit pengampunan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa segera menyiasat EXCO DAP, Tony Pua, berhubung penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tiada alasan untuk polis melengahkan siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), susulan beberapa laporan yang dibuat. Beliau yang juga Ketua Whip PN berkata pihak berkuasa dilihat mengamalkan sikap pilih kasih dalam mengendalikan kes berkenaan.

Takiyuddin turut merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat perkara itu ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri, kelmarin.

“Kalau kata Perdana Menteri pun KDN tidak hendak dengar lagi, tidak tahulah dia hendak dengar siapa. Saya rasa tiada alasan lagi untuk tidak siasat. Bukan susah hendak cari Tony Pua, kecuali dia telah duduk di mana... Timbuktu?” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata Pua menyatakan minit itu dinyahklasifikasikan menerusi hantaran Facebook pada 18 November lalu. Takiyuddin mempersoalkan bagaimana Pua mengetahui perkara berkenaan dan menegaskan bekas Ahli Parlimen Damansara itu bukan Ahli Parlimen, menteri Kabinet atau pegawai kerajaan.

Pua sebelum ini menyiarkan petikan minit mesyuarat itu di Facebook. Tindakan berkenaan mencetuskan kecaman beberapa pihak yang mendakwa beliau tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong serta mempolitikkan prerogatif diraja dalam pemberian pengampunan.

Kelmarin, Anwar dilaporkan menjelaskan dokumen berkaitan Perdana Menteri keenam yang dikemukakan dalam proses mahkamah hanya mengandungi keputusan pengampunan, bukan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kemudian dilaporkan berkata polis diarah menggembleng semua sumber untuk menyiasat dakwaan kebocoran dokumen itu.

Takiyuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, turut mempersoalkan penjelasan kerajaan bahawa dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan afidavit balasan terhadap permohonan semakan kehakiman Badan Peguam. Katanya, semakan melalui sistem e-filing Mahkamah Persekutuan atas permintaan Pejabat Ketua Pembangkang pada jam 12.57 tengah hari kelmarin tidak menemui afidavit balasan AGC.