PH persoal tujuh ADUN berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan keputusan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang didakwa berkecuali dalam undian belah bahagi Belanjawan Selangor minggu lalu. Penyelaras PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datin Faizah Ariffin, berkata pendirian itu menimbulkan persoalan kerana belanjawan RM3.3 bilion berkenaan mengandungi peruntukan pembangunan dan kebajikan yang turut memberi manfaat kepada penduduk Sijangkang.
Belanjawan itu menyediakan RM36.45 juta bagi 47 projek tebatan banjir, RM19.38 juta untuk 25 projek sistem saliran dan RM38 juta bagi program kesihatan rakyat. Ia turut merangkumi pelbagai bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
Faizah berkata, Sijangkang masih berdepan isu banjir, sistem perparitan, kerosakan jalan raya, kemudahan awam dan kos sara hidup. Beliau turut merujuk kepada ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, yang pernah membangkitkan masalah banjir di Seri Cheeding serta kawasan sekitar pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau ketika membahaskan belanjawan itu.
“Isu banjir dan keperluan infrastruktur di Sijangkang perlu diberikan perhatian serius. Namun, pendirian beliau untuk berkecuali dalam pengundian belanjawan yang turut menyediakan peruntukan bagi menangani masalah tersebut memerlukan penjelasan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 20 November lalu, Dewan Negeri Selangor meluluskan Belanjawan 2027 dengan 42 undi menyokong. Tujuh ADUN berkecuali manakala tujuh lagi tidak hadir.
Faizah menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan mempercepat projek tebatan banjir serta menaik taraf sistem perparitan. Beliau turut meminta supaya setiap peruntukan yang diluluskan memberi manfaat kepada seluruh penduduk Sijangkang.
“Kebajikan rakyat tidak seharusnya dijadikan pertimbangan berdasarkan perbezaan politik. Banjir, kemiskinan dan kesusahan hidup tidak mengenal parti. Keutamaan setiap wakil rakyat adalah memastikan hak dan kebajikan masyarakat yang diwakili terus terbela,” katanya.