Dua kajian perkahwinan bawah umur dijangka selesai awal 2027

Sumber: Harian Metro
Dua kajian perkahwinan bawah umur dijangka selesai awal 2027
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Dua kajian berkaitan perkahwinan bawah umur di Malaysia dijangka selesai awal 2027, dengan hasilnya akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan bagi memperkukuh usaha pencegahan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan dan Kajian Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan sedang giat dijalankan. Kajian itu bertujuan menilai pelaksanaan strategi oleh agensi berkaitan, mengenal pasti faktor risiko serta faktor pelindung, selain meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.

Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bekerjasama dengan United Nations Children's Fund (UNICEF) Malaysia untuk menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.

Pada masa sama, Institut Sosial Malaysia (ISM) menjalankan kajian mengenai faktor risiko, faktor pelindung dan strategi pencegahan perkahwinan bawah umur di Malaysia.

“Kedua kajian ini dijangka selesai awal 2027. Oleh itu, KPWKM berpandangan adalah lebih wajar untuk kerajaan mengemukakan dapatan muktamad selepas hasil kajian tersebut diperoleh dan diteliti lanjut,” katanya.

Nancy menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai kesediaan kerajaan menggubal undang-undang untuk mengharamkan semua perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan di bawah usia 18 tahun tanpa pengecualian.

Beliau berkata, selepas kedua-dua kajian dimuktamadkan, KPWKM akan menggunakan hasilnya untuk mengenal pasti jurang pelaksanaan, menetapkan keutamaan tindakan susulan bersama agensi berkaitan serta meneliti keperluan sumber dengan lebih khusus.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan usaha pencegahan disokong tindakan yang memenuhi keperluan pendidikan, perlindungan, kesejahteraan dan penyertaan kanak-kanak perempuan, selaras dengan tema Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa 2026, “End child marriage and invest in girls' rights!”

Sementara kajian dijalankan, KPWKM tetap meneruskan usaha menangani perkahwinan kanak-kanak melalui Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026–2030. Kerajaan memberi tumpuan kepada akses dan kelangsungan pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian untuk kanak-kanak perempuan, selain perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi.

“Sokongan turut diberikan kepada keluarga yang menghadapi kesukaran sosio ekonomi. Bidang-bidang ini penting untuk mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak.

“KPWKM juga akan mengambil kira pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan dalam merancang serta menambah baik tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya.