KAFA sedia berbincang dengan FAM bantu selesaikan sekatan KRW FC

Sumber: Sinar Harian

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia mengadakan perbincangan rasmi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membantu mencari penyelesaian terhadap sekatan perpindahan pemain yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Kelantan Red Warrior (KRW FC). Presidennya, Datuk Seri Rosmadi Ismail, berkata perkara itu ketika ditemui pada Kongres Luar Biasa KAFA pada Khamis.

Rosmadi berkata KAFA memahami FAM telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu itu, termasuk mengemukakan rayuan dan berunding dengan FIFA sehingga ke tahap maksimum. Bagaimanapun, katanya, peraturan dan prosedur operasi standard FIFA mungkin menyukarkan pihak yang dikenakan tindakan untuk mendapatkan pelepasan daripada sekatan.

Beliau berkata KAFA akan memanfaatkan kedudukan serta peranan baharunya sebagai badan induk bola sepak di negeri itu untuk berbincang secara rasmi dengan FAM dan membantu KRW FC.

Sebelum ini, pengendali KRW FC, Irfan Bakti Abu Salim, dilaporkan masih berharap pasukan itu mendapat ruang untuk mengikat beberapa pemain baharu, termasuk pemain import, bagi mempertingkatkan keupayaan pasukan menghadapi Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, Irfan menegaskan masalah berkaitan sekatan perpindahan FIFA perlu dirujuk kepada pengurusan kelab. Menurutnya, beliau dimaklumkan pihak pengurusan KRW FC masih berusaha menyelesaikan isu itu kerana tunggakan gaji pemain perlu dilangsaikan sepenuhnya.