Malaysia teruskan rundingan tarif dengan AS hingga suku pertama 2027
KUALA LUMPUR — Malaysia akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) hingga suku pertama 2027 bagi memastikan jumlah tarif ke atas barangan negara itu tidak melebihi 19 peratus, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada Khamis.
Johari berkata, rundingan itu khususnya bertujuan menangani kebimbangan AS berhubung lebihan kapasiti struktur dan pengeluaran di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974. Malaysia akan terus berhubung dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) untuk mengemukakan pendirian negara dan mengelakkan tarif tambahan melepasi kadar yang dipersetujui di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART).
“AS telah menyatakan julat tarif antara 18 peratus hingga 25 peratus bagi Malaysia... inilah julatnya. Namun, kita masih mempunyai masa sehingga suku pertama untuk berunding, memberi penjelasan, serta mengemukakan justifikasi mengapa kita tidak seharusnya diletakkan dalam julat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang pemasangan tempatan BYD di Malaysia.
Beliau berkata, kadar keseluruhan yang dikenakan ke atas Malaysia tetap tidak boleh melebihi 19 peratus. Malaysia sebelum ini menyatakan pendiriannya kepada timbalan wakil USTR dan menegaskan manfaat sebagai antara pihak terawal menandatangani ART wajar dikekalkan.
Menurut Johari, AS telah menjanjikan kadar tarif 19 peratus kepada Malaysia selepas negara itu menjadi antara yang pertama menandatangani perjanjian berkenaan. Oleh itu, katanya, Malaysia seharusnya menikmati manfaat tersebut.
“Walau apapun langkah tambahan yang ingin kenakan, termasuk tarif 10 peratus yang berkaitan dengan buruh paksa, jumlah keseluruhannya tidak boleh melebihi 19 peratus,” katanya.
Johari berkata, AS sedang meneliti empat bidang di bawah Seksyen 301, iaitu lebihan kapasiti, buruh paksa, isu alam sekitar dan subsidi kerajaan. AS telah memuktamadkan tarif 10 peratus berkaitan buruh paksa, manakala langkah berhubung lebihan kapasiti masih dipertimbangkan.
Katanya, AS belum memuktamadkan pendirian mengenai lebihan kapasiti dan sedang meneliti cara untuk melaksanakan langkah berkaitan. Bagaimanapun, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) secara konsisten menegaskan Malaysia tidak mempunyai lebihan kapasiti.
Sebelum ini, AS dilaporkan mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia selepas mendakwa dasar perindustrian dan amalan pembuatan negara menyumbang kepada lebihan kapasiti struktur serta pengeluaran yang membebankan atau menyekat perdagangan AS.
Malaysia merupakan antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan tarif di bawah Seksyen 301, dengan kadar antara 15 hingga 35 peratus. Ekonomi lain yang turut berdepan cadangan itu termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah.
Johari berkata, sektor besi dan keluli mungkin diteliti dalam siasatan lebihan kapasiti susulan kebimbangan kapasiti pengeluarannya boleh digunakan untuk menyalurkan eksport melalui Malaysia. Sektor semikonduktor pula dikecualikan daripada penilaian pada peringkat ini.