Kadar tarif AS berkaitan lebihan kapasiti belum dimuktamadkan

KUALA LUMPUR: Kadar tarif antara 18 hingga 25 peratus yang mungkin dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia susulan siasatan lebihan kapasiti di bawah Seksyen 301 belum dimuktamadkan. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata kadar sebenar hanya akan diumumkan AS pada suku pertama 2027.
Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada 25 November lalu mengeluarkan penentuan siasatan itu yang membabitkan 14 ekonomi, termasuk Malaysia. Bagaimanapun, USTR menjelaskan julat tarif berkenaan hanya bersifat indikatif.
Menurut MITI, setakat ini hanya tarif 10 peratus berhubung isu buruh paksa yang dikenakan terhadap Malaysia sejak 24 Julai 2026 sedang berkuat kuasa.
Kementerian itu berkata, pihaknya akan meneruskan libat urus dan rundingan dengan AS bagi memastikan jumlah keseluruhan kadar tarif terhadap Malaysia di bawah Seksyen 301 tidak melebihi 19 peratus.
MITI menyifatkan pendirian itu wajar kerana Malaysia antara ekonomi terawal menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) bersama AS. Kementerian berkenaan juga akan memaklumkan perkembangan lanjut menjelang suku pertama 2027 bagi memberikan kepastian kepada pihak berkepentingan, termasuk komuniti perniagaan dan pelabur.
Malaysia turut mengulangi pendirian bahawa sektor pembuatan negara tidak mempunyai lebihan kapasiti yang boleh mengganggu atau menjejaskan pasaran global. Sebagai langkah proaktif, MITI akan meneliti semula barangan yang diimport dari negara ketiga ke Malaysia bagi memastikan negara tidak menyumbang kepada masalah lebihan kapasiti global.