Mangsa banjir di Selangor dan Perak berkurang pagi ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak menurun pagi ini berbanding semalam, dengan pengurangan direkodkan di beberapa daerah di kedua-dua negeri.
Di Selangor, seramai 978 orang daripada 303 keluarga ditempatkan di PPS, berbanding 1,430 orang daripada 404 keluarga petang semalam. Daerah Kuala Langat mencatat jumlah mangsa tertinggi, iaitu 775 orang.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa di Kuala Langat berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang yang menempatkan 17 orang dan PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu dengan 16 orang.
Di Kuala Selangor, 108 mangsa berada di PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan, manakala 41 orang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Batu 8 Ijok. Di Sepang, seramai 21 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.
Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi keadaan banjir kilat di beberapa kawasan di Klang selepas hujan lebat awal pagi tadi. Kejadian itu mengakibatkan kesesakan lalu lintas di laluan utama ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Di Perak, jumlah mangsa di tiga PPS di tiga daerah berkurang kepada 204 orang daripada 60 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 209 orang daripada 62 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai, Manjung, kekal 127 orang daripada 37 keluarga. Di Hilir Perak, 69 orang daripada 20 keluarga berlindung di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan.
Jumlah mangsa di PPS SK Batu Hampar, Larut, Matang dan Selama pula menurun kepada lapan orang daripada tiga keluarga. Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian, berada pada tahap bahaya, iaitu 9.23 meter berbanding paras normal 8.68 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir pada sebelah petang di semua daerah di Perak.