JPW laksana 144 program cegah keganasan terhadap wanita

Sumber: Astro Awani
JPW laksana 144 program cegah keganasan terhadap wanita
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan 144 program dan kempen pencegahan keganasan serta diskriminasi di seluruh negara sepanjang tahun ini, yang memberi manfaat kepada 37,774 peserta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata usaha itu sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi JPW untuk memperkukuh advokasi, intervensi awal dan sokongan kepada wanita yang berhadapan dengan keganasan.

Beliau berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanda awal keganasan, malah memastikan golongan berkenaan mengetahui hak mereka dan saluran bantuan yang tersedia.

“Usaha membanteras keganasan tidak boleh diletakkan di bahu mangsa semata-mata, sebaliknya kerajaan, keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wanita dilindungi serta mendapat bantuan apabila diperlukan,” katanya.

Lim berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2026 anjuran KPWKM di sini pada Rabu.

Antara inisiatif JPW ialah Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita berkaitan Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT), yang membantu masyarakat mengenali tanda awal keganasan, memahami hak serta mengetahui mekanisme perlindungan yang disediakan.

Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT), yang dilancarkan pada 20 Ogos, pula memberi penekanan kepada sokongan psikososial bagi membantu pemandiri membina semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan.

JPW turut menyediakan perkhidmatan melalui PRISMAnita, merangkumi maklumat, saringan awal, nasihat, sokongan psikososial dan rujukan kepada agensi atau pakar yang bersesuaian. Usaha itu dilengkapi program IRIS, MATAHARI dan Skuad WAJA menerusi kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bantuan Guaman serta pertubuhan bukan kerajaan.

Pada majlis itu, Lim melancarkan Ikrar Digital: Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita sebagai komitmen masyarakat menolak keganasan, termasuk penderaan fizikal, emosi, seksual dan kewangan. Beliau berkata komitmen itu perlu diterjemahkan dalam tindakan seharian, antaranya dengan tidak menyalahkan mangsa, menggunakan ugutan untuk mengawal pasangan atau berdiam diri apabila mengetahui berlaku penderaan.

Statistik PDRM merekodkan 5,862 kes keganasan rumah tangga dari Januari hingga September tahun ini, dengan 4,411 mangsa terdiri daripada wanita.

Sambutan EVAW 2026 turut diserikan dengan Kempen Orange the Nation, menerusi pencahayaan berwarna oren di Menara Kuala Lumpur sebagai simbol harapan terhadap masa depan yang lebih selamat dan bebas daripada keganasan. Kempen itu sebahagian daripada Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender yang berlangsung hingga 10 Dis.