JKN Kedah kesan bakteria dan bahan kimia tercemar dalam air minuman

Sumber: Harian Metro
JKN Kedah kesan bakteria dan bahan kimia tercemar dalam air minuman
Gambar: Harian Metro

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan bakteria dan bahan kimia tercemar dalam produk air minuman yang diusahakan sebuah premis di Yan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu, semalam.

Menurut kenyataan JKN Kedah, premis itu beroperasi tanpa lesen sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil air minuman atau air mineral semula jadi daripada sumber air bagi tujuan perniagaan. Pemeriksaan turut mendapati ia tidak mempunyai lesen perniagaan daripada Majlis Daerah Yan (MDY) dan lesen pengabstrakan air daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

Operasi berkenaan membabitkan 80 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk JKN Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, MDY, LSANK, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

JKN Kedah berkata, pemantauan mendapati sampel air daripada sumber telaga dan air yang sudah dibotolkan mengandungi bahan tercemar yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna. Satu notis dikeluarkan mengikut Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 atas kesalahan menjual air minuman berbungkus tanpa lesen, dengan nilai kompaun RM3,500.

Produk dan perkakasan di premis itu turut disita mengikut Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983, dengan nilai rampasan RM14,241.10. MDY pula mengeluarkan kompaun RM300 kerana perniagaan dijalankan tanpa lesen, manakala LSANK mengeluarkan notis arahan supaya aktiviti pengabstrakan air dihentikan serta-merta kerana dilakukan tanpa lesen sah.

JKN Kedah menasihatkan pengguna membaca label dan memastikan produk Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Mineral Semula Jadi (AMS) mempunyai nombor kelulusan lesen KKM yang sah sebelum membeli. Pematuhan syarat pelesenan sumber air penting bagi memastikan produk yang dijual selamat diminum dan tidak membawa risiko kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai penjualan produk makanan yang melanggar Akta Makanan 1983 boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau menyalurkannya melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di http://moh.spab.gov.my.