JKN Kedah kesan bakteria dan bahan kimia dalam air minuman di Yan

Sumber: Harian Metro
JKN Kedah kesan bakteria dan bahan kimia dalam air minuman di Yan
Gambar: Harian Metro

YAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan bakteria dan bahan kimia tercemar dalam produk air minuman yang diproses sebuah premis di daerah ini dalam operasi penguatkuasaan bersepadu semalam.

JKN Kedah berkata, premis berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengambil air minuman atau air mineral semula jadi daripada sumber air bagi tujuan perniagaan.

Pemeriksaan turut mendapati premis itu tidak memiliki lesen perniagaan daripada Majlis Daerah Yan (MDY) dan lesen pengabstrakan air daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK). Operasi berkenaan membabitkan 80 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk JKN Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, MDY, LSANK, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Polis Diraja Malaysia.

Menurut kenyataan JKN Kedah, pemantauan mendapati sampel air daripada sumber telaga dan air yang sudah dibotolkan mengandungi bahan tercemar yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna.

Dalam operasi itu, satu notis dikeluarkan mengikut Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana menjual air minuman berbungkus tanpa lesen. Nilai kompaun bagi kesalahan itu ialah RM3,500.

Produk dan perkakasan turut disita mengikut Seksyen 4(1)(f), Akta Makanan 1983, dengan nilai rampasan RM14,241.10. MDY pula mengeluarkan kompaun RM300 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, manakala LSANK mengeluarkan notis arahan supaya aktiviti pengabstrakan air dihentikan serta-merta kerana tiada lesen sah.

JKN Kedah menasihatkan pengguna supaya membaca label dan memastikan produk Air Minuman Berbungkus (AMB) atau Air Mineral Semula Jadi (AMS) mempunyai nombor kelulusan lesen KKM yang sah sebelum membeli. Pematuhan terhadap keperluan pelesenan sumber air penting bagi memastikan produk yang berada di pasaran selamat diminum dan tidak menimbulkan risiko kesihatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai penjualan produk makanan yang melanggar Akta Makanan 1983 boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau menyalurkannya menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM di http://moh.spab.gov.my.