Kontraktor Jendela di Sabah dikenakan penalti lebih RM200 juta

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat yang terlibat dalam pelaksanaan projek Rangkaian Digital Nasional (Jendela) Fasa 1 di Sabah dikenakan penalti melebihi RM200 juta kerana gagal memenuhi obligasi kontraknya, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata jumlah penalti itu hampir menyamai nilai kontrak yang diberikan kepada syarikat berkenaan. Kontrak tersebut dianugerahkan sebelum beliau memegang jawatan itu.
Menurut Fahmi, penalti atau denda bagi Jendela Fasa 1 dikira berdasarkan bilangan tapak yang diberikan kepada setiap syarikat. Beliau berkata kaedah itu menyebabkan penalti yang dikenakan terhadap syarikat yang gagal menyiapkan kerja menjadi besar.
“Ada syarikat yang gagal menyiapkan kerja. Sebagai contoh, di Sabah, terdapat satu kes apabila penalti melebihi RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak,” katanya.
Fahmi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mengenai penalti terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan menara telekomunikasi dalam tempoh ditetapkan, serta langkah mencegah masalah sama berulang dalam Jendela Fasa 2.
Beliau berkata kementerian mengetatkan syarat kerja subkontrak bagi fasa kedua susulan masalah melibatkan beberapa lapisan subkontrak, yang menyebabkan subkontraktor tidak menerima bayaran.
Syarikat yang menerima kontrak Jendela kini perlu memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta mendapatkan kelulusan suruhanjaya itu sebelum menyerahkan mana-mana kerja kepada subkontraktor.
“Kami mendapati syarikat yang menerima kontrak akan menyerahkan kerja melalui beberapa lapisan subkontrak dengan anggapan ia memudahkan urusan. Namun, masalahnya ialah subkontraktor tidak dibayar,” katanya.
Fahmi berkata semua syarikat penerima kontrak sudah dimaklumkan bahawa aturan subkontrak tidak akan dibenarkan jika MCMC tidak dimaklumkan dan kelulusan tidak diperoleh.
Beliau berkata Jendela Fasa 1 sudah selesai, manakala kumpulan pertama Fasa 2, yang melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, sedang dilaksanakan.