Jazmy Juma yakin kontroversi tidak jejaskan sambutan Dua Nyawa

Sumber: Harian Metro
Jazmy Juma yakin kontroversi tidak jejaskan sambutan Dua Nyawa
Gambar: Harian Metro

PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan Puteri Balqis dan seorang pelakon lelaki yang terbabit dalam drama Dua Nyawa tidak menggugat keyakinan Jazmy Juma terhadap sambutan penonton kepada drama yang sedang ditayangkan itu. Jazmy, 28, berkata penerimaan penonton bergantung kepada jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbitan Viu Original, Wali Dalam Tangisan, di sini, semalam. Bagaimanapun, Jazmy enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan gangguan seksual yang kini dalam siasatan polis.

“Saya tak rasa orang boikot (drama Dua Nyawa), insya-Allah. Ini ketentuan Ilahi. Dia yang menentukan perjalanan ini dan menjadikan apa yang sudah terjadi sekarang ini.

“Tapi kalau perkara lain, saya tak boleh ulas sebab ia sudah membabitkan pihak polis,” katanya.

Jazmy turut berharap penonton memberi perhatian kepada mesej dan pengajaran dalam setiap naskhah lakonannya, tanpa terlalu terikat dengan kontroversi di luar drama. Katanya, setiap karya yang dijayakannya membawa intipati dan pengajaran, sama ada kecil atau besar.

Terdahulu, Puteri Balqis, 19, meluahkan rasa kurang senang dan mendakwa seorang pelakon lelaki sengaja bergesel dengannya ketika mereka menjayakan babak bersama. Susulan dakwaan itu, pihak pengurusan pelakon Zarif Ghazzi menafikan menerusi kenyataan rasmi bahawa pelakon berkenaan melakukan perbuatan seperti yang didakwa.

Polis sebelum ini mengesahkan sudah merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap Puteri Balqis ketika penggambaran drama. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, dilaporkan berkata pihaknya turut akan merakam keterangan kira-kira 25 lagi saksi, yang terdiri daripada kru penggambaran.