AGC putuskan tiada tindakan lanjut dalam siasatan surat MEIO kepada CIA

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) berhubung siasatan penghantaran surat oleh bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat pada 25 November 2025 selepas AGC meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM). PDRM menjalankan siasatan berhubung perkara itu melalui laporan Polis Presint 7/8959/23.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88], Seksyen 203A Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Siasatan yang lengkap sudah dijalankan dan mendapati tidak menjumpai sebarang arahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa kerajaan dalam isu ini,” katanya dalam jawapan bertulis.
Saifuddin Nasution berkata kertas siasatan dirujuk kepada AGC pada 18 Disember 2023 untuk penelitian dan arahan selanjutnya. Selepas meneliti hasil siasatan, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap kes itu pada 25 November 2025.
Jawapan itu diberikan susulan pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis), yang meminta penjelasan sama ada surat bekas Ketua Pengarah MEIO kepada CIA dihantar dengan arahan atau kebenaran pihak berkuasa kerajaan. Beliau turut bertanya mengenai keputusan siasatan PDRM terhadap surat yang memohon sokongan AS kepada pentadbiran Najib menjelang PRU14.
Pada Julai 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendakwa beliau tidak pernah mengarahkan MEIO menulis surat berkenaan. MEIO beroperasi di sebalik Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri.
Surat tiga halaman bertarikh 4 Mei 2018 itu ditandatangani Datuk Hasanah Abdul Hamid dan diutuskan kepada Gina Haspel, Pengarah CIA (Lantikan) ketika itu. MEIO meminta AS terus menyokong pentadbiran Najib sekiranya Barisan Nasional menang mudah atau hanya memperoleh majoriti satu kerusi dalam PRU14.