Isu zuriat bukan gurauan, Sweet Qismina nasihat netizen jaga sensitiviti

Rembau: Pelakon Sweet Qismina meminta orang ramai tidak melontarkan kata-kata yang boleh menjejaskan emosi pasangan suami isteri yang sedang berusaha mendapatkan cahaya mata. Beliau, yang juga isteri kepada aktor Adam Lee, berkata isu zuriat tidak sesuai dijadikan bahan gurau senda kerana pasangan TTC (tanpa cahaya mata) sudah pasti berusaha untuk menimang cahaya mata. Katanya, “Kadang-kadang ada yang terlepas cakap dan rasa perkara itu (zuriat) sebagai hal remeh, tetapi orang yang mengalaminya tidak rasa begitu. Ada yang rasa benda itu tidak sensitif, tetapi orang yang lalui akan rasa sensitif.”
Sweet berkata demikian pada Program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, di sini, semalam. Program itu dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Pelakon filem Babah itu turut berkongsi perasaan peribadi ketika melihat pasangan yang masih dalam proses TTC. Dia mengakui tersentuh dengan kesungguhan mereka, dan turut berasa haru melihat pelawak Achey serta isterinya Nor Hasanah Yahaya atau Anne akhirnya berpeluang menimang cahaya mata selepas 15 tahun menanti. “Kita tengok ada yang sudah 10 tahun dan baru-baru ini kita dapat berita gembira mengenai Achey yang akhirnya mendapat zuriat selepas 15 tahun. Apabila tengok video dia, saya rasa sebak. Anne pula sampai pergi ke Makkah dan berdoa di hadapan Kaabah. Itu hanya kita dengan Allah yang tahu betapa sakitnya apabila setiap kali mencuba, tetapi belum berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Sweet berpendapat pasangan yang sedang menjalani proses TTC perlu berhati-hati dalam membuat perkongsian di media sosial. Katanya, “Kadang-kadang kita tidak sedar. Contohnya saya suka berkongsi momen gembira bersama Adam atau perjalanan TTC. Apabila tidak berjaya, kita tidak tahu mungkin ‘penyakit ain’ itu ada. Jadi, lebih baik kita simpan dan jaga privasi kehidupan sendiri. Kita tidak tahu siapa yang mendoakan perkara baik atau negatif terhadap kita.” Beliau menegaskan bahawa jika ditanya sama ada beliau setuju pasangan TTC tidak perlu bercerita kepada orang lain, beliau sangat setuju, walaupun itu keluarga sendiri, kerana tidak semua orang memahami keadaan mereka.