SPRM rakam percakapan pegawai Hannah Yeoh selama lima jam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, selama kira-kira lima jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, bagi membantu siasatan isu lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pegawai berkenaan dipanggil pada 10 pagi tadi untuk melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata SPRM turut akan memulakan siasatan berhubung isu tatakelola sekiranya terdapat perkara berkenaan.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini selain memberi ruang agar siasatan ini berjalan lancar memandangkan ia masih di peringkat awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM menegaskan tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang.
Terdahulu, Hannah mengesahkan pembantunya dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berhubung isu KLSCAH.
Pada 14 November lalu, Hannah mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding anggaran awal yang bernilai hampir RM4.67 juta.