SPRM rakam percakapan pegawai Hannah Yeoh berhubung isu KLSCAH
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam percakapan seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis bagi membantu siasatan mengenai kontroversi lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata rakaman percakapan itu berlangsung selama lima jam bermula jam 10 pagi. Pegawai berkenaan dipanggil bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Abd Halim berkata SPRM juga akan memulakan siasatan berhubung aspek tatakelola sekiranya terdapat keperluan. Beliau meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada agensi itu menjalankan siasatan menyeluruh, memandangkan kes berkenaan masih pada peringkat awal.
SPRM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan menjalankan siasatan secara bebas, adil serta berlandaskan undang-undang.
Sebelum ini, Hannah mengesahkan pembantunya dipanggil SPRM untuk membantu siasatan berkaitan isu KLSCAH.
Pada 14 November lalu, Hannah mengumumkan kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah berkenaan selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000. Nilai itu jauh lebih rendah berbanding anggaran awal hampir RM4.67 juta.